KOTA BHARU: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin ditahan manakala lima premis perniagaan dikendalikan oleh warga asing disita dalam Op Bersepadu Warga Asing di 12 kawasan penempatan imigran di Melor, Ketereh dan Kok Lanas semalam.
Dalam operasi melibatkan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan itu, seramai 37 warga asing berusia 17 hingga 50 tahun dan 14 premis perniagaan diperiksa.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang MDKPI Mohd Noor Affendy Abdul Shukor berkata, operasi itu dijalankan selepas mendapat maklumat serta aduan penduduk yang gelisah dengan kehadiran pendatang itu yang menjalankan peniagaan serta menetap di kawasan mereka.
“Antara kesalahan utama dikesan adalah tiada lesen perniagaan, salah guna lesen perniagaan, tiada permit kerja dan dokumen pengenalan diri. Selain itu 10 kompaun dikeluarkan kepada warga asing atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika mengetuai operasi di sekitar Ketereh di sini.
Beliau berkata, semua pendatang yang ditahan akan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut termasuk menjalani saringan kesihatan dan juga saringan Covid-19 sebelum dihantar ke depoh tahanan.
Katanya, majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen selain lesen perniagaan mereka ditarik balik.
“MDKPI juga akan membatalkan lesen perniagaan serta-merta yang diberikan kepada peniaga yang menyewa premis mereka kepada pekerja asing,” katanya. – Bernama