SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berharap agar kerja membina dan membaik pulih sekolah daif di seluruh Sarawak dapat dipercepat.
Menurut beliau tindakan tersebut adalah amat penting demi mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh warga pendidik dan pelajar dari sekolah daif dalam negeri ini pada masa sekarang.
“Sebelum ini, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memuktamadkan bahawa sejumlah 37 sekolah rendah termasuk dua sekolah menengah dalam negeri ini akan dibina serta dibaik pulih.
“Bagi saya projek tersebut tiada masalah untuk dipercepat kerana Kerajaan Sarawak telah pun menyalur sejumlah RM700 juta melalui dua kali bayaran kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan itu sebelum ini,” kata beliau.
Mong berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pembangunan Kapasiti KMKK Daerah Sri Aman dan Pelancaran Key Performance Indicator (KPI) Serta Penyampaian Baucar Bantuan Yayasan Sarawak Bagi DUN Bukit Begunan di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon menerusi sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lepas memaklumkan kerajaan telah pun melulus sejumlah 93 projek baik pulih bangunan daif untuk sekolah dalam negeri ini.
Katanya, projek baik pulih bangunan daif di sekolah dengan dana RM1 bilion ini dilaksana melalui tiga fasa iaitu fasa satu melibatkan 41 sekolah dengan kos berjumlah RM350 juta dengan fasa dua pula melibatkan 52 sekolah dengan kos berjumlah RM350 juta.
Manakala fasa tiga sedang dimuktamadkan senarai dan skop projek oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bersama dengan Kerajaan Sarawak melibatkan kos projek sebanyak RM300 juta.
Selain itu, Mong pada majlis itu juga menasihat ibu bapa agar memeriksa pembekal dan kualiti pakaian seragam sekolah sekiranya anak-anak mereka menerima Baucar Bantuan Yayasan Sarawak.
“Saya difaham bahawa pada tahun ini sejumlah 26,175 pelajar telah pun dipilih untuk menerima Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak (YS) bernilai RM200 seorang.
“Justeru ibu bapa penerima perlulah memastikan anak-anak mendapat pakaian seragam terbaik dan berhenti memberi alasan tidak mampu menghantar anak-anak bersekolah disebabkan oleh alasan kewangan sebelum ini,” kata Mong.
Hadir sama ialah wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Liew Zhe Rong, Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Wilson Risit dan para KMKK di sini.
Beliau pada program itu telah menyerahkan Sijil Ketua Kaum kepada 82 penerima di samping menyerahkan Baucer Bantuan Pakaian Yayasan Sarawak bernilai RM200 seorang kepada para pelajar terpilih.
Oleh Valentine Ngumbang