Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Sarawak bakal lancar satu lagi peranti berasaskan AI di UK bulan depan – Abang Johari
  • TEKNOLOGI

Sarawak bakal lancar satu lagi peranti berasaskan AI di UK bulan depan – Abang Johari

Utusan Sarawak 6 days ago

RASMI....Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Majlis Perhimpunan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 sambil disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

SARIKEI: Sarawak akan melancarkan satu lagi peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI) di United Kingdom (UK) bulan depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata program itu sebagai manifestasi kepada visi Sarawak untuk menjadi pencipta teknologi yang akan memberi nilai tambah kepada sumber Sarawak.

Katanya, antara pencapaian membanggakan adalah penciptaan peranti KETEQ AI iaitu peranti penukar kuasa pertama di dunia berasaskan AI dan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak.

Ia dilakukan melalui Sarawak Microelectronic Design (SMD) dengan kerjasama CSA Catapult UK. 

“Saya telah melancarkan peranti ini di Cardiff, Wales di UK pada April tahun ini dan sedang menunggu pendaftaran IP sebelum dikomersilkan melalui kolaborasi dengan rakan-rakan industri.

“KETEQ AI hanyalah permulaan kepada beberapa lagi peranti berasaskan AI sedang dibangunkan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Abang Johari berkata, asas ekonomi baharu dibina melalui pelbagai inisiatif digital dan hijau. 

Ia disokong oleh kerangka institusi yang mantap, penggubalan undang-undang, serta penubuhan entiti penting seperti Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros). 

Beliau berkata, infrastruktur teknologi turut diperkukuh melalui pembinaan pusat data, menara komunikasi dan rangkaian fiber optik.

“Aspirasi kita adalah untuk memastikan rakyat Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta nilai digital.

“Anak Sarawak kini sudah menceburi bidang AI, teknologi hijau, e-dagang, dan pertanian pintar berasaskan inovasi,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri (SAIC) sebagai pusat rujukan dan inovasi AI. 

Abang Johari berkata, SAIC berperanan melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi, memupuk penyelidikan dan pembangunan, serta menyediakan platform bagi syarikat pemula (start-ups) dan usahawan tempatan untuk membangunkan penyelesaian digital yang mampu menembusi pasaran global.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menjadikan Sarawak bukan sahaja pengguna, tetapi juga pencipta teknologi dan peneraju ekonomi digital serantau.

“Dalam konteks ini, pembangunan sumber manusia menjadi keutamaan,” katanya.

Oleh Earl Anek 

Continue Reading

Previous: Ahli Sains China berjaya bangunkan teknologi baharu untuk komunikasi wayarles 6G
Next: Perkhidmatan Google tergendala di beberapa negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.