Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pan Borneo eratkan hubungan ekonomi Malaysia-Brunei
  • NASIONAL

Pan Borneo eratkan hubungan ekonomi Malaysia-Brunei

Utusan Sarawak 15 hours ago
SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kiri), bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 di Kompleks Seri Perdana hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei menantikan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo bagi memperkukuh kesalinghubungan serantau serta membuka lebih banyak peluang dalam pelancongan dan kerjasama ekonomi antara Brunei, Sabah dan Sarawak.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengadakan perbincangan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin mengiktiraf kerjasama antara Unified National Network (Brunei Darussalam) dan Sacofa (Sarawak) yang akan memasuki perjanjian baharu selama tujuh tahun bermula 2026, melibatkan model sewaan jalur lebar dalam sektor telekomunikasi secara perniagaan-ke-perniagaan.

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kesalinghubungan antara Brunei Darussalam dan negeri Sabah serta Sarawak sebagai asas kepada integrasi ekonomi yang lebih erat dan pertukaran rakyat, serta mengalu-alukan usaha Kerajaan Brunei Darussalam dan Royal Brunei (RB) dalam meningkatkan kesalinghubungan udara ke Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut memuji Memorandum Kerjasama antara RB dan Lembaga Pelancongan Sabah, yang ditandatangani pada 30 Jun di Kota Kinabalu, Sabah, bagi merancakkan sektor pelancongan dan memperluas hubungan ke kawasan strategik.

Ini termasuk kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), ASEAN, Timur Tengah, Oceania, United Kingdom dan India menjelang 2028.

“Kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan peningkatan konektiviti melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang meningkatkan akses darat serta memudahkan perdagangan dan pergerakan rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengambil maklum rundingan draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei Darussalam dan Sabah bagi membolehkan pelajar Sabah melanjutkan pengajian tinggi di Brunei.

“Mereka mengalu-alukan inisiatif ini sebagai usaha memperkukuh kerjasama pendidikan dan berharap ia dapat dimuktamadkan dengan segera,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penandatanganan MoU kerjasama kesihatan sempena ALC ke-26 pada hari yang sama.

“Kedua-dua pemimpin menekankan komitmen bersama memperkukuh kerjasama kesihatan dalam bidang farmaseutikal, keselamatan kesihatan, rawatan perubatan, penyakit tidak berjangkit dan kesihatan digital,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengiktiraf penubuhan Jawatankuasa Bersama di bawah MoU kerjasama dalam bidang pengangkutan yang ditandatangani pada 26 Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan.

“Kedua-dua pemimpin menantikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama yang dijadualkan pada suku keempat 2025,” menurut kenyataan itu.– Bernama

Continue Reading

Previous: PM Anwar, Sultan Hassanal Bolkiah saksi pertukaran MoU kesihatan
Next: Inisiatif baucar buku MADANI RM100 untuk pelajar IPT mula dlaksanakan esok – KPT

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.