

TERPEROSOK… Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
MIRI: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di simpang masuk Citi Hotel, Jalan Cahaya, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak memaklumkan bahawa mangsa, dikenali sebagai Andy Macome Atar, 34 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.26 malam.
“Komander Operasi yang tiba di lokasi mendapati seorang penunggang motosikal terperosok di bawah sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Oleh Adum Liu