
KUCHING: Isu sekolah daif di Sarawak, khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bollah Kaba, kini diberi perhatian serius dan akan diangkat sebagai projek keutamaan segera.
Penegasan ini dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasminya hari ini.
Dalam perbincangan rasmi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) hari ini, Dr Annuar menggariskan keperluan untuk mendahulukan pembaikan blok asrama, dewan makan, blok pentadbiran, serta kuarters guru yang berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, blok akademik yang dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan turut dibaik pulih bagi menjamin kelancaran operasi pembelajaran.
Menurut Dr Annuar, meskipun projek naik taraf SK Haji Bollah Kaba telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Kedua (RP2), tempoh pelaksanaannya yang masih jauh menyebabkan ia perlu dipercepatkan.
Tindakan ini disifatkan sebagai penting demi menangani risiko keselamatan dan keselesaan yang timbul akibat infrastruktur sekolah yang semakin usang.
Terdahulu, Dr Annuar telah melakukan lawatan kerja ke sekolah tersebut semalam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri bagi meninjau secara langsung keadaan fizikal bangunan.
Oleh Adi Safarman