
SIBU: Mahkamah Majistret di Kapit, semalam, menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan ke atas seorang lelaki yang enggan memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa Majlis Daerah Kapit (MDK) kerana membuang puntung rokok di tempat awam.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Romario Jonoi setelah mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh, Chan Jee Chiun, 46.
Terdahulu, Chan didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas apabila enggan memberikan kad pengenalan untuk pemeriksaan identiti di hadapan kedai Jalan Pemanca Lau Chieng Eng, Kapit pada 15 Ogos 2025, kira-kira 9.55 pagi.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu bersama beberapa anggota penguatkuasa MDK telah melakukan Operasi Anti-Litter di sekitar pekan Kapit dengan rondaan berjalan kaki.
Pengadu telah melihat seorang lelaki iaitu tertuduh, merokok sambil berjalan menuju masuk ke dalam kereta sebelum membuang puntung rokok di atas jalan raya.
Pengadu bersama anggota MDS menghampiri dan menegur tertuduh supaya memberikan kerjasama dengan mengeluarkan kad pengenalan untuk tujuan menulis kompaun di atas kesalahan yang dilakukan.
Tertuduh bagaimanapun enggan memberikan kerjasama, lalu masuk ke dalam kereta sambil memaki hamun, selain bertindak menumbuk pengadu hingga terkena bahagian telinga kanannya.
Anggota MDS yang lain telah bertindak menahan tertuduh yang mengamuk serta bertindak kasar. Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp Chang Kok Siong sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman