
BAR DALORI, Pakistan: Dalam kegelapan malam, hanya berbekalkan cahaya telefon bimbit, pasukan penyelamat dan penduduk kampung menggali runtuhan konkrit rumah-rumah yang musnah selepas batu-batu besar menghempap sebuah kampung terpencil di Pakistan akibat kejadian hujan lebat secara tiba-tiba (cloudburst).
Dengan menggunakan tukul, penyodok, dan dalam banyak keadaan hanya tangan kosong, mereka membersihkan runtuhan serta membuka laluan yang tertimbus, sambil mencari mangsa dalam suasana gelap tanpa bekalan elektrik.
Dalam tempoh beberapa minit sahaja, limpahan air dan batu melanda Kampung Dalori pada Isnin, memusnahkan sekurang-kurangnya 15 rumah, merosakkan beberapa lagi, serta mengorbankan sembilan nyawa.
Dianggarkan kira-kira 20 penduduk masih terperangkap di bawah runtuhan.

“Satu dentuman kuat kedengaran dari puncak gunung, kemudian asap hitam tebal menjulang ke langit,” kata Lal Khan, seorang buruh tempatan berusia 46 tahun kepada AFP.
“Gelombang besar air turun deras bersama tanah runtuh dari arah gunung,” tambahnya.
Letusan hujan lebat (cloudburst) di Dalori berlaku selepas beberapa hari hujan monsun berterusan yang telah meragut lebih 350 nyawa di seluruh wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, terletak di sempadan barat laut Pakistan dengan Afghanistan.
Sejak Khamis lalu, hujan lebat di utara Pakistan telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang menghanyutkan seluruh kampung, dengan kira-kira 200 orang masih dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku banjir kilat baharu dalam beberapa hari akan datang.
Khan mengimbas kembali saat dia melihat tangan jirannya terjulur keluar dari celahan runtuhan, sebelum pasukan penyelamat menemukan mayat wanita itu bersama empat orang anaknya.
“Kami benar-benar tidak berdaya. Kami tidak mempunyai kemampuan untuk menghadapi bencana yang dihantarkan oleh alam ini,” katanya.
SEPERTI FILEM KIAMAT
Seorang lagi penduduk, Gul Hazir, berkata bukan satu tetapi beberapa letusan hujan lebat (cloudburst) telah melanda lembah terpencil itu dari dua arah kampung.
“Ia seperti adegan dalam filem kiamat. Saya masih tidak percaya dengan apa yang saya lihat,” kata Hazir.
“Bukan air yang datang terlebih dahulu, sebaliknya batu-batu besar yang menghentam rumah-rumah,” tambahnya kepada AFP.
Pegawai pentadbiran tempatan, Usman Khan, memberitahu AFP di lokasi bahawa banyak rumah dibina di atas laluan sungai, yang memburukkan lagi tahap kemusnahan.
“Tiada laluan untuk air surut selepas cloudburst berlaku di sekurang-kurangnya 11 lokasi berasingan di kawasan ini,” jelasnya.
“Sangat mencabar untuk menjalankan operasi di sini kerana jentera berat tidak dapat melalui lorong-lorong sempit.”
Saqib Ghani, seorang pelajar yang kehilangan bapanya dan sedang mencari ahli keluarga lain, cuba menggali runtuhan konkrit dengan tangan kosong sebelum diselamatkan dan diberi air oleh penduduk kampung.
Satu-satunya jalan masuk ke kampung itu telah musnah di beberapa bahagian, manakala batu kelikir berselerakan di seluruh penempatan.
Walaupun berdepan cabaran besar, beberapa jentera penggali sedang berusaha membersihkan runtuhan yang menyekat saliran dan menghalang aliran air.
Dalori telah mengadakan pengebumian untuk lima mangsa, sementara wanita-wanita berkabung dalam rumah yang gelap tanpa bekalan elektrik sejak bencana berlaku.
Di lorong-lorong sempit kampung, ternakan berkeliaran tanpa penjaga di tengah kehancuran.
“Saya tidak sanggup tinggal di sini lagi,” ujar seorang wanita yang berselubung selendang besar, dalam kesedihan, sambil mengikuti keranda yang diusung melalui jalan kampung.
Beberapa hari sebelum bencana, penduduk sibuk mengumpul dana untuk membantu mangsa banjir di kawasan bersebelahan sebelum mereka sendiri ditimpa musibah dan kehilangan segalanya.
“Kami tak sangka, akhirnya kami pula yang memerlukan bantuan,” kata Hazir menutup bicara.
- AFP