
KUCHING: Kaunter perkhidmatan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) kini dibuka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu dan Miri hasil kerjasama Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) dengan Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU).
Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Datin Norlia Madon berkata inisiatif itu memberi kemudahan kepada bakal pelabur dan pelabur sedia ada di bahagian Sibu, Miri dan sekitarnya untuk melakukan urusan pelaburan ASSAR tanpa perlu hadir ke pejabat utama ASSB di Kuching.
“Langkah ini diharap dapat mendekatkan ASSAR kepada pelabur, memudahkan urusan pelaburan, memperluaskan akses kepada pelbagai perkhidmatan dan manfaat yang ditawarkan serta mengukuhkan hubungan dengan pelabur di seluruh Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Perkhidmatan kaunter ASSAR akan disediakan secara berkala iaitu selama lima hari bekerja berturut-turut setiap bulan di UTC Sibu dan UTC Miri.
Bagi bulan Ogos, kaunter di UTC Sibu beroperasi dari 11 hingga 14 Ogos manakala UTC Miri pula dari 25 hingga 29 Ogos.
Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi ASSAR di www.assar.com.my atau notis yang dipaparkan di pusat UTC masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai jadual penuh perkhidmatan.