
MIRI: Latihan keselamatan kebakaran merupakan langkah persediaan penting dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran.
Ia perlu dilaksanakan supaya pekerja dapat memahami dengan lebih mendalam tentang cara menyelamatkan diri dan mempraktikkan cara tersebut dalam situasi yang terkawal.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Telah mengadakan latihan pematuhan Sistem Tugasan Baru (STB) di Soonlinmas Sdn Bhd, Jalan Kuala Baram, di sini, semalam.
Ketua Balai BBP Lutong, Henry Jugah berkata, latihan bermula 8.30 pagi hingga 11.30 pagi itu melibatkan dua Jentera Menyelamat dan Pemadaman (FRT) dan Mitsubishi Triton dengan penyertaan lima anggota bomba.
Menurut beliau, seramai 50 kakitangan premis tersebut terlibat latihan itu.
“Latihan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknik menyelamatkan diri, malah mengasah refleks dan koordinasi dalam suasana tekanan. Ini sangat penting dalam usaha menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerosakan harta benda,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menggalakkan agar latihan seumpama ini dilakukan secara berkala di semua premis industri, terutama yang berisiko tinggi.
Langkah proaktif seperti ini jelas membuktikan bahawa keselamatan bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab bersama yang memerlukan latihan, ilmu dan kesediaan berterusan.
Oleh Liong Chai Ling