Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • 478 pengamal media terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA setakat ini – Teo
  • NASIONAL

478 pengamal media terima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA setakat ini – Teo

Utusan Sarawak 1 day ago
TIMBALAN Menteri Komunikasi Teo Nie Ching beramah mesra bersama tetamu selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia Tahun 2025 di Wisma Jaya Bakti, Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 478 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM1.3 juta setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata inisiatif Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana itu terus membantu pengamal media termasuk yang tidak lagi bertugas sekiranya memerlukan bantuan. 

“Daripada angka itu, 56 penerima merupakan pengamal media Tamil. Kepada rakan-rakan media yang memerlukan bantuan atau mungkin mengenali seseorang yang memerlukan bantuan ini, bolehlah membuat permohonan melalui urusetia Tabung Kasih@HAWANA atau terus menghubungi pejabat saya untuk maklumat lanjut.

“Kami sentiasa bersedia membantu. Inisiatif ini membuktikan komitmen kami dari kementerian untuk menjaga kebajikan rakan-rakan media dan memastikan tiada siapa yang terpinggir,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia 2025 di sini hari ini.

Tabung Kasih@HAWANA, yang dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023, bertujuan membantu kebajikan pengamal media serta bekas pengamal media yang memerlukan, termasuk dari segi bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta sokongan sewajarnya.

Inisiatif itu merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk menghargai jasa wartawan dan sumbangan mereka kepada masyarakat serta negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru diluluskan dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya pada November ini bagi membincangkan isu-isu industri media.

“Saya percaya MMM akan menjalankan libat urus dengan para media. Apabila majlis ini ditubuhkan, kita perlu pastikan ia melibatkan pelbagai jenis media,” tambahnya.

Selain itu, Teo menggesa Pertubuhan Media Tamil Malaysia menggalakkan ahlinya menyertai kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang ditawarkan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) agar mereka dapat terus berkarya dan menyumbang kepada masyarakat. 

Katanya IPPTAR merancang sebanyak 80 kursus dengan sasaran penyertaan 1,500 peserta bagi tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 57 kursus berjaya dilaksanakan melibatkan 4,384 peserta setakat 31 Julai lepas.

Seiring perkembangan teknologi, beliau berkata IPPTAR turut merancang 22 kursus berkaitan AI sepanjang tahun ini dengan 16 kursus AI telah dilaksanakan melibatkan penyertaan 814 peserta setakat 31 Julai.

“Sebelum ini, kursus di IPPTAR hanya tertumpu kepada penjawat awam, namun kini dibuka kepada pengamal media serta seluruh komuniti. Saya optimis media Tamil mampu memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya dan suara utama komuniti India,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Agong tegur Mindef: Elak beli pesawat usang, utamakan keselamatan juruterbang
Next: KesZara Qairina: Anwar sekali lagi tegaskan tiada yang terlepas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.