KUALA LUMPUR: Semasa bermulanya Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) yang disediakan dalam RMK-10 telah ditukar daripada geran kepada pinjaman, demikian Dewan Rakyat di maklumkan.
Penukaran ini sejajar dengan dasar semasa kerajaan untuk program tanaman semula sawit yang diusahakan oleh agensi lain seperti Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) dan juga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu mengenai bantuan geran tanam semula kelapa sawit kepada pekebun kecil sawit yang telah diubah menjadi pinjaman pada tahun 2019.
“Bagaimanapun, menyedari akan keperluan dan kehendak pekebun kecil, kementerian sedang mengkaji kemungkinan untuk menstruktur semula Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) untuk dikhususkan kepada kumpulan sasar tertentu seperti golongan B40 dan sebagainya.
“Namun, ia tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan,” kata kementerian itu. – Bernama