
MARUDI: Semangat perpaduan dan kesukarelawanan terpancar jelas apabila seramai 42 mahasiswa dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berkampung selama empat hari di Rumah Panjang Kiam Logan Entasan, di sini bagi menjayakan Program Bakti Siswa 2025.
Program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) ini bukan sekadar mencipta pengalaman luar dewan kuliah, malah memperkukuh ikatan antara mahasiswa pelbagai latar belakang serta komuniti luar bandar.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengurus Dewan Suarah Marudi, Jimmy Wan yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Frederick.
“Ilmu di dewan kuliah tidak lengkap tanpa turun ke lapangan dan merasai denyut nadi masyarakat. Program seperti ini mendekatkan mahasiswa dengan realiti kehidupan sebenar rakyat,” ujar beliau dalam ucapannya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap mahasiswa yang terlibat, kerana berjaya membuktikan bahawa semangat perpaduan, setia kawan dan toleransi dapat disemai walaupun berasal dari tempat yang berbeza.
Setiap peserta diberikan keluarga angkat sepanjang program, membuka peluang untuk memahami secara mendalam budaya, adat resam serta cara hidup masyarakat Iban di rumah panjang.
Selain itu, mahasiswa turut mengadakan sesi perkongsian bersama pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, memberi pendedahan tentang peluang dan kos pengajian di UKM sebagai panduan ke menara gading.
Pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang program termasuk gotong-royong, lawatan ke air terjun, serta sesi bersama komuniti tempatan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyemai semangat kekitaan, malah memupuk nilai kerjasama, hormat budaya dan empati.
“Bakti tidak berhenti di sini, tetapi akan terus hidup dan subur dalam setiap langkah selepas ini,” kata Jimmy penuh harapan.
Turut hadir Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Kaunselor Yanti Nyanggau, Penasihat PEMASRA UKM Shirin Kashim, Presiden Kesatuan Mahasiswa UKM 2024/2025 Muhammad Awliya Mohd Fauzi dan Pengarah Program Muhammad Naib Iskandar.
Oleh Jiku Juguong