
BINTULU: Rakyat diingatkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi memelihara imej negara di mata dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, semua pihak perlu memastikan bendera dalam keadaan baik dan menggantikannya jika lusuh atau koyak sebagai tanda hormat kepada simbol negara.
“Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan sempurna di bangunan pejabat, premis perniagaan, kampung, rumah panjang, kenderaan masing-masing malah di rumah kita sendiri.
“Namun begitu, jangan biarkan bendera lusuh atau koyak berkibar.
“Sebaliknya gantikan dengan Jalur Gemilang baharu kerana ia merupakan simbol kedaulatan negara dan perlu dikibarkan dengan cara yang betul agar tidak menjejaskan imej negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB Jepak, Pengiran Dato Daud Pengiran Putera pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Balai Raya Jepak di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Konvoi KMJG 2025, Adillatul Hasif Nasah mengajak masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta negara, taat setia, pengorbanan dan semangat patriotisme.
“Justeru itu, saya mengajak kita semua bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang selari dengan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi sebagai lambang rasa sayang, bangga dan hormat kepada bendera negara,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih