
KUCHING: Syarikat Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) Bahagian Selatan memaklumkan berlaku dua insiden melibatkan paip utama jenis MSCL (paip keluli lembut berlapis simen) di Jalan Matang.
Kejadian tersebut menjejaskan bekalan air terawat di beberapa kawasan sekitar termasuk Batu Kawa, Moyan, Jalan Batu Kawa-Malihah, Matang Jaya, Petra Jaya, Demak Laut, JBALB Semariang dan kawasan berhampiran.
Menurut kenyataan SWSB, kejadian pertama melibatkan paip pam berukuran 750 milimeter di Jalan Matang–Batu Kawa berhampiran Emart Moyan yang pecah buat kali pertama sekitar 11.00 malam pada 6 Ogos lalu.
Pasukan SWSB bertindak segera mengasingkan kebocoran bagi mengelak kerosakan lanjut sebelum kerja pembaikan disiapkan pada 11.39 malam 7 Ogos, lebih awal daripada jadual. Bekalan air bersih kemudian dipulihkan ke kawasan terjejas.
Kejadian kedua pula melibatkan paip pam berukuran 1,100 milimeter di Jalan Matang berhampiran Taman Heng Guan yang mengalami kerja pembaikan tidak berjadual.
Kerja berkenaan terhenti sementara pada 3.30 pagi, 6 Ogos disebabkan cabaran penyahairan, keadaan tapak dan kekangan teknikal.
Bahagian kimpalan telah disiapkan pada tiga suku keliling paip namun kebocoran berterusan di bahagian bawah memerlukan pembaikan sepenuhnya.
Bagi mengurangkan kelewatan, SWSB telah membuat kelengkapan tambahan secara tempatan dan melaksanakan penyelesaian di tapak. Kedua-dua paip utama ini membekalkan air terus ke takungan Bukit Siol, selain menyalurkan ke takungan Datu Muda, Pending dan 9 3/4 Batu.
Kerja pembaikan paip 1,100 milimeter dijadualkan bermula 9.00 malam, Rabu, 13 Ogos hingga 8.00 pagi, Khamis, 14 Ogos.
Sepanjang tempoh itu, pengguna di Jalan Matang (Kubah Ria ke Batu 9), Taman Sri Harmoni, Jalan Sungai Tengah, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhamad Salahudin, Jalan Demak, Jalan Bako, Muara Tebas, Petra Jaya dan kawasan JBALB berhampiran dijangka mengalami tekanan air rendah atau ketiadaan bekalan air.
Lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas dan pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air mencukupi sebelum tempoh kerja pembaikan.