
KUCHING: Pertunjukan Seni Bela Diri sempena Festival Kuching 2025 malam ini memukau penonton dengan gabungan pelbagai disiplin seni mempertahankan diri tradisional dan moden, termasuk silat, wushu dan taekwondo.
Selain itu, acara yang berlangsung di Stadium Hoki Sarawak itu turut menampilkan persembahan berwarna-warni daripada pelatih pelbagai peringkat usia, mempamerkan keindahan budaya serta ketangkasan fizikal.
Program yang menjadi sebahagian daripada segmen Tarian Rakyat dan Seni Mempertahankan diri anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) ini disertai pelbagai persatuan seni bela diri tempatan. Persembahan memukau itu bukan sahaja menghiburkan, malah memperkenalkan kepada generasi muda kepelbagaian warisan seni mempertahankan diri di Sarawak.
Festival Kuching 2025 yang bermula pada 25 Julai hingga 17 Ogos ini menampilkan pelbagai acara kebudayaan, sukan dan hiburan, sekali gus memperkukuh peranan bandar raya ini sebagai pusat pertemuan masyarakat berbilang kaum melalui seni, makanan dan persembahan rakyat.
Oleh Shikin Mahmud