
PANTU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, telah mengadakan lawatan ke Chapel Saint Thomas di Selanjan, Sebemban, dekat sini kelmarin bagi merasmikan bangunan gereja berkenaan melalui penandatanganan plak perasmian.
Chapel Saint Thomas dibina pada 2024 hasil peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan siap sepenuhnya pada awal tahun ini.
Kemudahan rumah ibadat itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan keperluan komuniti pelbagai agama, khususnya di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian.
Bangunan chapel yang moden dan selesa itu telah diberkati oleh The Right Reverend Nelson Ugas Bulang pada 5 Julai lalu dalam satu upacara penuh kesyukuran yang turut dihadiri oleh komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Mong merakamkan penghargaan kepada UNIFOR atas sokongan berterusan kepada pembangunan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak, serta menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama.
Beliau turut menggesa masyarakat agar memanfaatkan kemudahan ini sebagai pusat kerohanian, perpaduan dan pembangunan sosial komuniti.
Oleh Adi Safarman