
SIMANGGANG: Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, tampil menghulurkan bantuan peribadi dengan membiayai sepenuhnya kos sewa rumah selama setahun bagi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tengah, baru-baru ini.
Menurut beliau, bantuan ini akan disalurkan secara berfasa melibatkan tempoh enam bulan pertama dan dilanjutkan enam bulan berikutnya bagi menjamin kesejahteraan mangsa sepanjang tempoh menunggu pembinaan semula kediaman masing-masing.
“Menjadi wakil rakyat bukan hanya hadir di Persidangan Dewan Undangan Negeri, tetapi berdiri bersama rakyat ketika mereka paling memerlukan. Ini bukan sekadar soal bantuan kewangan, tetapi bukti bahawa mereka tidak keseorangan,” katanya ketika melakukan lawatan ke lokasi kejadian, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap rakyat di kawasan N.28 Lingga dianggap sebagai keluarga besar tanpa mengira latar belakang, dan kebajikan mereka adalah amanah yang wajib dipelihara.
Baru-baru ini, Dayang Noorazah telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM11,500 kepada keluarga mangsa, hasil peruntukan khas dan sumbangan peribadinya.
Dalam pada itu, lawatan tersebut turut bertujuan menilai situasi semasa serta mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menyelaras pelan pemulihan menyeluruh.
Fokus turut diberikan kepada aspek pendidikan anak-anak, kesihatan, dan sokongan psikososial kepada keluarga terjejas, susulan koordinasi awal yang telah digerakkan melalui Pusat Khidmat ADUN Lingga, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), jentera parti, pihak berkuasa tempatan serta agensi teknikal.
Dalam kejadian yang berlaku pada 12.14 tengah malam, 29 Julai lalu, sebanyak empat rumah musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan lebih 80 peratus.
Secara keseluruhan, lapan rumah terjejas dalam insiden itu melibatkan seramai 21 mangsa daripada lima keluarga yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, Jalan Stawang.
Oleh Adi Safarman