
BEKENU: Sebanyak 108 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM532,000, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sibuti di sini.
Menurut Rosey, geran itu disalurkan secara terus ke akaun rasmi setiap JKKK dalam bentuk cek, dan setiap penerima diminta menguruskan peruntukan dengan penuh tanggungjawab serta ketelusan.
“Semua JKKK yang menerima geran ini perlu melaporkan perbelanjaan kepada penduduk dan ahli jawatankuasa masing-masing.
Gunakan peruntukan ini secara berhemah dan laksanakan projek yang benar-benar memberi impak kepada komuniti, termasuk penambahbaikan kemudahan asas dan keperluan semasa kampung atau rumah panjang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar profil kampung dan rumah panjang sentiasa dikemas kini, bagi membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih sistematik dan tepat.
“Ketua kampung dan tuai rumah juga perlu memastikan mesyuarat JKKK diadakan secara berkala, sebagai langkah memastikan urus tadbir yang cekap dan berkesan demi kemajuan kawasan masing-masing,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, JKKK boleh menuntut Elaun Pengendalian Mesyuarat dan Elaun Kehadiran Mesyuarat yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, dengan mengemukakan dokumen lengkap di Pejabat Daerah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis, yang menyaksikan penyerahan simbolik kepada para penerima.
Oleh Adum Liu