Tesla tawar Elon Musk pakej pampasan baharu benilai AS$29 bilion

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN udara Tesla Diner yang baru dibuka dengan Teslas diletakkan di Superchargers pada 31 Julai 2025 lalu di Hollywood, California. Restoran retro-futuristik 24 jam dan stesen pengecasan super terletak di Laluan 66 yang bersejarah dan mempunyai dua skrin filem 66 kaki dan 250 tempat duduk untuk menjamu selera. Restoran itu juga telah menyaksikan protes ‘Tesla Takedown’ baru-baru ini terhadap CEO Tesla Elon Musk. Foto AFP


SAN JOSE (Amerika Syarikat): Tesla menawarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Elon Musk, satu pakej pampasan  bernilai kira-kira AS$29 bilion, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu hantaran di platform X pada Isnin, Robyn Denholm dan Kathleen Wilson-Thompson – dua ahli jawatankuasa khas lembaga pengarah menyatakan bahawa Musk akan diberikan 96 juta saham, yang akan menjadi milik sepenuhnya selepas beliau berkhidmat selama dua tahun dalam peranan kepimpinan di syarikat itu.

Menurut kenyataan itu, Musk boleh memperoleh saham itu pada harga AS$23.34 sesaham – jauh lebih rendah daripada nilai semasa yang melebihi AS$300 sesaham.

Satu pakej imbuhan yang lebih besar dari 2018 dibatalkan dalam satu saman pemegang saham di Delaware pada 2024.

Hakim dalam kes itu memutuskan yang kelulusan pakej itu adalah tidak sah, dengan hujah Musk mempunyai pengaruh terlalu besar dalam proses rundingan bersama lembaga pengarah dan perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan pemegang saham.

Kes itu bertukar menjadi luar biasa apabila pemegang saham Tesla meluluskan semula pakej 2018 dalam satu mesyuarat agung pada Jun 2024, kali ini dengan maklumat yang lebih lengkap hasil perbicaraan sensasi itu, namun, hakim tetap berpegang pada keputusannya untuk menolak pakej itu.

Tesla mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, malah mengumumkan jika pakej 2018 yang melibatkan lebih 300 juta saham itu diisytiharkan semula sebagai sah, peruntukan saham baharu kepada Musk akan dibatalkan.– Bernama-dpa