
KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk membeli tambahan 30 pesawat baharu Boeing dalam fasa kedua, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata pembelian pesawat tambahan itu adalah sebahagian daripada rundingan timbal balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
“Dalam menangani defisit perdagangan dengan AS, kerajaan akan membuat perolehan utama termasuk pembelian pesawat Boeing.
“Malaysia Aviation Group (MAG) komited untuk membeli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion dalam fasa pertama dan tambahan 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion pada fasa kedua,” katanya pada sidang media khas berhubung pengumuman tarif oleh AS.
Terdahulu, AS mengumumkan pengurangan tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus sebelum ini.
Sebelum ini, Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pembelian pesawat Boeing baharu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
MAG telah mengumumkan pemerolehan 30 pesawat baharu secara terus daripada Boeing sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan pesawatnya.
Pesanan itu termasuk 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM LEAP-1B dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat 737.
Tempahan untuk ratusan jet Boeing telah diumumkan menerusi perjanjian dengan Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Kemboja, Bangladesh dan negara lain sebagai sebahagian daripada rundingan untuk mengurangkan tarif AS. – Bernama