WILLIAN berkata dia akan meninggalkan Chelsea dengan bangga mengakhiri tujuh tahun dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu yang dia katakan kepada peminat dalam surat terbuka semalam.
Pemain sayap dari Brazil berusia 32 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal setelah dia gagal bersetuju dengan kontrak baru bersama Blues.
Willian menolak Tottenham Hotspur untuk menyertai Chelsea dari kelab Rusia, Anzhi Makhachkala dengan harga 30 juta pound pada tahun 2013.
Dia menjaringkan 63 gol dalam 339 penampilan dan memenangi lima trofi, dua gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.
Namun, kecederaan pergelangan kaki menghalangnya bermain dalam final Piala FA tewas kepada Arsenal dan perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA, Sabtu lalu kepada Bayern Munich.
“Masanya telah tiba untuk terus bergerak. Saya pasti akan merindui rakan sepasukan saya,” katanya.
“Saya pergi dengan preasaan bangga, selamat dengan mengetahui bahawa saya memenangi banyak perkara di sini dan selalu melakukan yang terbaik dalam jersi Chelsea.”
Willian – anggota pasukan Brazil dalam pusingan akhir Piala Dunia 2014 dan 2018 – bekata dia tidak pernah menyesal kerana memilih Chelsea berbanding saingan di London, Spurs.
“Ia adalah tujuh tahun yang indah. Pada bulan Ogos 2013 ketika saya menerima tawaran dari Chelsea, saya yakin di sinilah saya harus bermain,” katanya.
“Hari ini saya yakin bahawa ini adalah keputusan terbaik. Terdapat banyak masa gembira, ada yang menyedihkan, ada piala dan selalu sangat sengit.
“Ada juga kritikan, yang mana ia perkara biasa, namun yang penting adalah bahawa kasih sayang dan kritikan mendorong saya untuk selalu memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan, setiap permainan, untuk terus meningkat hingga saat terakhir saya memakai jersi Chelsea.”
Willian meninggalkan Blues bersama dengan pemain sayap veteran dari Sepanyol, Pedro, yang akan menyertai Roma dengan pepindahan percuma. – AFP