KUALA LUMPUR: Indeks Volum Perkhidmatan menyaksikan penurunan 21.5 peratus kepada 99.3 mata pada suku kedua 2020 berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ini merupakan kejatuhan terendah berpunca dari pandemik Covid-19 yang memberikan kesan negatif yang signifikan terhadap industri perkhidmatan pada suku kedua 2020.
Penyumbang utama kepada kejatuhan sektor perkhidmatan pada suku kedua 2020 adalah segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan negatif 26.4 peratus dan segmen perkhidmatan lain mencatatkan negatif 41.2 peratus.
“Indeks volum pelarasan musim bagi segmen ini turut mengalami kemerosotan 22.0 peratus kepada 100.0 mata berbanding suku tahun sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata kejatuhan indeks volum bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan disebabkan oleh subsektor penginapan (- 78.8 peratus) dan subsektor makanan dan minuman (- 31.7 peratus).
“Kejatuhan Indeks Volum Perkhidmatan pada suku kedua 2020 ini selari dengan penutupan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga Fasa 4 bermula 8 Mac 2020 sehingga 3 Mei 2020.
“Pelaksanaan pakej rangsangan dan rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek untuk mengurangkan kesan Covid-19 dijangka meredakan kelembapan ekonomi dan ekonomi secara beransur-ansur meningkat pada suku tahunan akan datang,” jelas beliau.- Bernama