
BINTULU: Masalah longkang tersumbat akibat pembuangan sampah di kawasan Pusat Komersial Parkcity menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata isu tersebut telahpun dilaporkan kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan tindakan segera telah diminta bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Pihak BDA memaklumkan kejadian seperti ini telah beberapa kali berlaku.
“Walaupun kerja pembersihan telah dijalankan, masih ada individu yang terus membuang sampah ke dalam longkang.
“Justeru, kerjasama orang ramai amat penting untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menilai keperluan pelaksanaan penguatkuasaan lebih tegas, jumlah tong sampah yang mencukupi, kekerapan pembersihan serta pemantauan berkesan terhadap pembuangan sampah.
Katanya, penduduk dan peniaga diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu sekiranya menyaksikan perbuatan membuang sampah secara haram.
“Sampah yang tidak terkawal bukan sahaja mencemarkan imej bandar, malah menjejaskan kebersihan awam dan keselamatan,” tegasnya.
Oleh Carolyne Utih