KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan Selamat Menyambut Vishu, Tahun Baharu Tamil dan Vaisakhi kepada kalangan mereka yang menyambutnya.
“Selamat Menyambut Vishudan Selamat Menyambut Tahun Baharu Tamil. Selamat Menyambut Tahun Baharu kepada rakan-rakan kami daripada kalangan masyarakat Malayalee dan Tamil. Kami doakan anda semua akan beroleh kemakmuran, keamanan dan kegembiraan pada tahun ini.
“Walaupun ketika ini merupakan masa yang sukar, kita semua akan berjaya mengharunginya sebagai sebuah negara. Tekadkan harapan dan semangat dan bersama-sama kita semua akan berjaya. Duduk di rumah dan kekal selamat,” titah Seri Paduka berdua dalam hantaran di akaun Instagram Istana Negara.
Kepada kalangan mereka yang menyambut Vaisakhi, pasangan diraja itu bertitah: “Selamat Menyambut Vaisakhi kepada rakan-rakan Punjabi kami! Kami doakan anda semua dilimpahi kegembiraan, rahmat dan kemakmuran. Terus tabah, duduk di rumah dan kekal selamat tatkala kita mengharungi waktu yang mencabar ini.
“Kita mungkin berjauhan dengan orang tersayang kita ketika ini, tetapi kita tetap bersatu sebagai sebuah negara ketika kita memerangi pandemik ini. Keadaan akan bertambah baik dan kita akan kekal sebagai sebuah keluarga, sebuah negara, sebagai rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka berdua.
Tahun Baharu Tamil disambut pada hari pertama bagi tahun itu dalam kalendar Tamil, manakala masyarakat Malayalee meraikan pestaVishu.
Vaisakhi, disambut semalam, adalah Tahun Baharu bagi masyarakat Punjabi dan Sikh serta juga merupakan pesta menuai musim bunga.–Bernama