
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat menilai usaha dan dasar kerajaan berdasarkan fakta dan bukan dipengaruhi sentimen politik.
Beliau berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, masih ada pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat seperti harga minyak dan harga barang naik, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Ini negara bebas, demokratik, cuma kita harus beri penjelasan sebab dalam temu bual semasa perhimpunan di Dataran Merdeka itu ada ditanyakan isu harga minyak naik, padahal minyak turun. Pelbagai fakta tidak benar.
“Maknanya, ini hanya sentimen politik, kebencian, tidak ikut fakta. Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaik,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap inisiatif dilakukan kerajaan mungkin tidak sempurna, namun pihaknya sentiasa mencari ruang untuk membaiki permasalahan yang wujud.
“Saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa-apa yang perlu,” kata beliau.
Terdahulu, Anwar yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari pada majlis tertutup itu turut menyampaikan amanat Presiden dan menyantuni ahli PKR yang hadir.
–Bernama