
SIBU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Jalan Sibu-Bintulu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 1.41 petang.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Bintulu menuju ke Bandar Sibu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan.
“Mangsa tercampak di tengah-tengah penghadang jalan tersebut. Kesan daripada kemalangan ini menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Motosikal mangsa pula mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkipli berkata, susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Akun Giman