
KUCHING: Seramai 98 penderma berjaya menderma darah dalam program Derma Darah UNIFOR 2.0 yang berlangsung di Aeroville Mall, hari ini.
Program anjuran Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), Aeroville Mall dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) itu berjaya menarik kehadiran 111 individu yang hadir bagi menyokong usaha murni tersebut.
Pengarah UNIFOR, Georgina Apphia Ngau berkata, kejayaan penganjuran kali kedua tahun ini membuktikan keprihatinan dan komitmen masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak terhadap kebajikan komuniti.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan masyarakat terhadap program ini. Sumbangan mereka amat penting bagi memastikan bekalan darah yang stabil dan mencukupi untuk HUS dan kemudahan perubatan lain di negeri ini.
“Setiap titisan darah yang didermakan menyumbang secara langsung kepada penyelamatan nyawa – sama ada bagi pesakit trauma, pembedahan kecemasan, pesakit kronik atau rawatan berpanjangan,” katanya.

Presiden KDJA, Ronnie Teo turut menyatakan bahawa media bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah harus turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Sejak awal lagi KDJA menyokong penuh program derma darah UNIFOR. Ia merupakan satu bentuk sumbangan kami ke arah Sarawak yang lebih sihat dan bersatu,” katanya.
Program hari ini merupakan inisiatif kedua di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNIFOR bagi tahun ini selepas penganjuran pertama yang berlangsung pada 22 Februari lalu.
Melalui inisiatif seumpama ini, UNIFOR komited untuk memupuk keharmonian antara agama serta menyumbang kepada kesejahteraan semua rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang, kaum atau kepercayaan.