
KUCHING: Persatuan Peniaga Sarang Burung Walit Sarawak telah menganjurkan Seminar Perkongsian Praktikal Rumah Walit bertemakan ‘Menarik Walit Menjana Keuntungan 2.0 Siri Kuching’ diadakan pagi tadi dengan penyertaan memberangsangkan daripada pengusaha walit serta pemain industri tempatan.
Dua tokoh utama industri, Pakar Sistem Rumah Walit, MD Koay dan Mentor Menarik Walit Berasaskan Praktikal, Khoo Ming Kui telah dijemput khas bagi berkongsi pendekatan sistematik dan praktikal dalam pengurusan rumah walit.
Presiden persatuan, Loh Siaw Kuei dalam ucapannya berkata para pengusaha kini berdepan pelbagai cabaran seperti penurunan hasil, rumah walit yang terbiar serta kadar kedatangan burung yang semakin rendah.
Malah katanya, ketidaktentuan dasar pengesahan rumah walit di beberapa kawasan turut menjejaskan keyakinan pemain industri.
“Persatuan berharap seminar ini dapat memperkenalkan satu sistem menarik walit yang boleh diuji dan dibuktikan keberkesanannya agar pengusaha dapat bergerak daripada pendekatan cuba jaya kepada pengurusan yang lebih saintifik, sistematik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seminar tersebut meliputi tujuh topik utama termasuk reka bentuk laluan terbang, susun atur pembesar suara, kawalan suhu dan kelembapan, sistem pengudaraan serta strategi pemulihan bagi rumah walit yang mengalami penurunan hasil.
Beliau turut menegaskan bahawa industri sarang burung walit bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri malah berpotensi menjadi pemacu utama sektor pertanian masa hadapan di Sarawak.
Program ini turut menerima maklum balas positif daripada para peserta dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Persatuan berikrar untuk terus menganjurkan program seumpamanya demi merancakkan lagi pembangunan industri walit di negeri ini.