BINTULU: Sektor pertanian berskala kecil mampu menjana pulangan ekonomi serta mempunyai potensi cerah sekiranya diuruskan dengan baik.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talip Zulpilip berkata, Kerajaan Sarawak turut membantu para peserta yang mengusahakan sektor terbabit walaupun dengan skala yang kecil.
“Setiap sektor ekonomi tidak hanya tertumpu kepada sektor yang berskala besar.”
“Pertanian kecil-kecilan walaupun hanya di halaman rumah juga mampu menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Community Extension Outreach Programme’ membabitkan Kursus Sistem Fertigasi Tanaman Cili bertempat di Dewan Serbaguna JKKK Kampung Baru, semalam.
Kursus berkenaan telah dihadir seramai 130 peserta.
Talip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, menyarankan penduduk supaya menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan menggunakan teknologi moden.
“Saya ingin melihat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak boleh meningkatkan pendapatan lebih-lebih lagi dengan menggunakan teknologi pertanian” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk supaya melibatkan diri dalam sektor berkenaan.
“Program seumpama ini di adakan adalah membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap program seumpama itu juga akan dilaksanakan secara berterusan yang mana untuk menambah ilmu dan pengetahuan penduduk terlibat.
Oleh Ellie Edward