MARUDI: Sempena sambutan bulan kemerdekaan, Pejabat Penerangan Marudi berjaya melaksanakan Program Info On Wheel (IOW) disempurnakan di pekarangan bangunan Wisma Persekutuan Marudi.
Program ini merupakan salah satu medium penyampaian maklumat dasar kerajaan oleh Jabatan Penerangan Malaysia yang mula dilaksanakan pada 23 Januari 2020 sehingga semalam.
Program tersebut turut disertai Pejabat Pendaftaran Negara, Pejabat KEMAS, Jabatan Imigresen, Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Pejabat RELA, Ambang Wira Sdn. Bhd dan semua agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Objektif program ini diadakan antara lain ialah untuk menyubur dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia serta menyebarluaskan maklumat dasar kerajaan.
Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini “Malaysia Prihatin” yang mana menurut Pegawai jabatan Penerangan Daerah Marudi, Zaini Morshidi, tema tersebut bertepatan dengan aspirasi kerajaan bahawa seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memerangi musuh yang belum dihapuskan iaitu Covid-19.
Manakala prihatin pula jelasnya menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi daripada aspek ekonomi, kebajikan dan kelansungan rakyat Malaysia.
Zaini berharap, sepanjang bulan kemerdekaan ini, beliau mengajak semua pihak bersama-sama menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam diri masing-masing.
“Tanam dan jagalah semangat patriotisme dalam diri masing-masing dan mudah-mudahan dengan ini rasa cinta kita kepada Negara tidak akan padam sampai bila-bila,” harapan Zaini.
Beliau menyeru kepada semua masyarakat tempatan agar sentiasa menjaga diri dengan mengamalkan norma baharu supaya selamat daripada dijangkiti wabak Covid-19.
Sehubungan itu Pejabat Penerangan Marudi akan mengadakan sebanyak 20 aktiviti sempena program IOW termasuk di rumah panjang, di kawasan DUN Marudi dan DUN Mulu.
Oleh Jiku Juguong