SERIAN: Belia disarankan supaya terus proaktif dalam apa juga tindakan yang diambil demi kebaikan hidup.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kalau kita ingin melihat masa depan negara kita, kita perlu melihat keadaan belia pada masa ini.
“Kalau belia pada masa sekarang terjebak dengan kancah dadah dan masalah sosial, begitulah kepimpinan negeri dan negara kita pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Belia Sarawak 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, semalam.
Majlis itu turut dihadiri 250 tetamu jemputan dan belia di Serian dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerana negara kita pada masa sekarang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Karim memberitahu, kementeriannya berdepan dengan tanggungjawab besar bagi memastikan golongan belia di Sarawak menjadi pewaris dan pelapis kepimpinan satu hari nanti.
“Belia perlu menangkis pemikiran negatif dan mereka perlu percaya serta yakin terhadap diri sendiri bahawa mereka berupaya menjadi pemimpin pada masa akan datang,” ujarnya.
Jelasnya, belia boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan sekiranya mereka terus hidup dalam persekitaran positif dan ingin memajukan diri.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan merangkap Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak.
Oleh Nur Ain Otsman