
KUALA LUMPUR: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer tersohor Indonesia Ade Govinda kembali menggamit peminat dengan kolaborasi terbaharu mereka menerusi single Menamakanmu Cinta, sebuah lagu berkisarkan cinta penuh emosi.
Siti Nurhaliza dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universal Music Malaysia hari ini, menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah karya yang membawa pesanan positif.
“Saya harap lagu ini boleh dinikmati oleh semua pendengar dan menjadi lagu cinta yang menyatukan kenangan serta perasaan mereka yang bercinta dalam kehidupan.
“Ia dibuat dengan penuh perasaan dan harapan, dengan setiap liriknya mencerminkan keindahan cinta sejati,” katanya yang turut berharap pendengar boleh merasai perjalanan emosi melalui setiap nada dan melodi lagu berkenaan.

Kolaborasi kali ini bukan yang pertama buat mereka kerana Ade pernah mencipta tiga buah lagu popular untuk Siti Nurhaliza dalam album Fragmen (2014), iaitu Terbaik Bagimu, Engkau dan Tak Pernah Ragu.
Sementara itu, Ade mengungkapkan pengalaman bekerjasama dengan ibu kepada dua cahaya mata tersebut sebagai sebuah momen yang cukup istimewa.
“Idea awal lagu ini muncul sebab saya mahu mencipta lagu cinta yang boleh dinyanyikan di setiap pernikahan oleh sesiapa sahaja yang sedang berbahagia.
Proses bekerja dengan Datuk Seri Siti sangat cepat, menyenangkan dan saya boleh meneroka vokalnya secara luar biasa dalam waktu singkat,” katanya.
Beliau turut berharap Menamakanmu Cinta akan menjadi runut bunyi kehidupan bagi sesiapa sahaja yang sedang bercinta.
“Ia bukan sekadar melodi atau lirik, tetapi juga merupakan ungkapan perasaan yang menyentuh jiwa serta menggambarkan kedalaman emosi antara pasangan,” katanya. – Bernama