KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian menggesa kepada alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Jospeh dan orang ramai untuk membantu mengumpul dana sebanyak RM3 juta untuk projek Pemulihan Mill Hill Blocks (1894) sekolah berkenaan.
Dr. Sim yang juga Pengerusi Old Josephian Association (OJA) mendedahkan pemangku Pengerusi Lembaga Sekolah, Christopher Chua telah menyerahkan surat pelantikan untuk projek itu yang bernilai RM5.5 juta dengan tempoh tujuh bulan setengah kepada kontraktor yang mana upacara itu diadakan dan diberkati oleh Uskup Agung Simon Poh.
“Sejak kami mula mengumpulkan dana pada 2017, OJA telah mengumpulkan lebih daripada RM2.5 juta, yang mana RM1.5 juta disumbangkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa, St. Joseph telah memberikan ribuan rakyat Sarawak hadiah paling berharga seperti pendidikan, yang menjadikan para pelajar St. Joseph unggul dan berkembang maju dalam semua bidang di seluruh dunia.
“Para pelajar St. Joseph telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Sarawak secara sosial, ekonomi dan politik, terutama empat daripada enam Ketua Menteri Sarawak dari St. Joseph Kuching,” ujarnya.
Dr. Sim menekankan, ini adalah pertama kalinya sekolah berkenaan meminta orang ramai untuk membantu pemulihan blok sekolah Mill Hill yang kini tidak selamat digunakan.
“Dana ini penting agar sekolah ini dapat meneruskan pemberian pendidikan dengan semangat La Sallian yang terbaik untuk sesama rakyat Sarawak untuk 100 tahun akan datang,” jelasnya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, SJS Mill Hill Block Restoration (511113526004).
Bagi mereka yang memerlukan resit untuk sumbangan mereka, sila hantarkan slip deposit derma anda ke sjsmillhillblock1894@gmail.com.
Oleh Nur Ain Otsman