MIRI: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelihatan pihak berkuasa terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan orang ramai dilindungi untuk mencegah penularan wabak Covid -19.
Pihak bomba di Miri hari ini juga telah melaksanakan operasi sanitasi nyah cemar di Gereja RC St Anthony, Pujut Corner di sini, pagi tadi. Operasi telah diketuai sendiri oleh Ketua Balai Bomba Lopeng Miri, Terry Rabsen Ketua Balai Bomba Lopeng, Miri.
Turut hadir menyaksikan operasi sanitasi tersebut ialah Penguasa Kanan Bomba I, Zon 6 Miri, Law Poh Kiong.
Menurut Law ketika ditemuramah, semalam terdapat empat lokasi operasi sanitasi nyah cemar yang dijalankan oleh pihak bomba di Bahagian Miri. Ianya melibatkan gereja St Anthony, Pujut Corner dan sebuah gerja di Pujut Padang Kerbau yang dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng manakala dua lagi lokasi iaitu di Sekolah Tunas Bakti dan Pusat Tahanan Imigresen Bekenu diliputi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Miri.
Tinjauan pihak Jabatan Penerangan (JAPEN) juga mendapati pihak polis giat menjalankan pemantauan situasi di Miri terutamanya di sekitar premis bank memandangkan rata-rata orang ramai sudah mula kerap berkunjung ke bank terutamanya ke Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi tujuan pengeluaran wang BPN.
Semalam, pihak polis bersama tentera kelihatan memantau dan memastikan pematuhan PKP diamalkan oleh orang ramai yang berurusan di Bank Simpanan Nasional Cawangan Miri dengan memastikan mereka tetap mengamalkan penjarakkan sosial semasa berurusan di bank.
Manakala semalam juga terdapat sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak polis dan tentera di lokasi bulatan Pujut 4, Miri. Setiap kenderaan yang melalui sekatan akan diperiksa bagi memastikan pengguna jalan raya di Miri mematuhi arahan PKP.
Kesungguhan pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang tempoh PKP ini adalah merupakan gambaran keprihatinan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ini dan masyarakat sewajarnya memberikan kerjasama bagi memastikan negara kita berjaya mengekang jangkitan virus ini demi kesejahteraan bersama.