
PETRA JAYA: Bersempena dengan sambutan Hari Sarawak yang akan disambut esok, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu padu dan berganding bahu bersama kerajaan serta sektor swasta demi masa depan negeri yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
Beliau menyifatkan 22 Julai 1963 sebagai detik penting dalam sejarah negeri, apabila Sarawak memulakan era pentadbiran sendiri dengan pelantikan mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama.
Langkah bersejarah ini menjadi asas utama kepada penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan kepada tokoh-tokoh terdahulu yang telah banyak berjasa kepada negeri, termasuk Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem.
Beliau juga memuji kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menerajui pembangunan negeri melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam bidang ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, bioekonomi dan inovasi.
“Kerjasama antara kerajaan, rakyat dan sektor swasta amat penting. Marilah kita kekalkan perpaduan, demi kestabilan dan kemajuan negeri yang kita cintai,” katanya.
Selamat Menyambut Hari Sarawak 2025.
Sarawak Maju Makmur!
-Astana Negeri Sarawak