
BETONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan pembinaan 46 unit rumah baharu di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Beladin menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) demi meningkatkan kesejahteraan komuniti nelayan di kawasan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Zaidi Mahdi semasa menyampaikan taklimat kepada Premier Sarawak berhubung perkembangan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin, bersempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada 68 keluarga penerima di bawah projek berkenaan.

Menurutnya, projek fasa kedua itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh LCDA melalui inisiatif Projek Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM22.1 juta sebagai kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama yang merangkumi kerja infrastruktur dan pembinaan rumah bernilai RM58.2 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Kerja pembinaan boleh dimulakan serta-merta memandangkan infrastruktur tapak telah disiapkan, sekali gus menjimatkan masa dan kos tanpa perlu melalui fasa penyediaan awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Projek tersebut dijangka memberikan impak besar kepada penduduk setempat selain memperkukuh usaha kerajaan dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.