
JULAU: Objektif utama Program Integrasi Kesedaran Keselamatan Belia adalah untuk memberi dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan diri dan persekitaran serta mengetengahkan langkah praktikal bagi mencegah perlakuan jenayah dan salah laku disiplin dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata pendekatan program tersebut juga bertujuan mendidik golongan belia agar dapat mengenal pasti punca dan risiko trend jenayah semasa serta bertindak untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang salah laku sosial.
“Ia meningkat kesedaran keselamatan diri dan persekitaran serta mengetengahkan langkah pratikal untuk pencegahan sesuatu perlakuan jenayah dan salah laku displin dalam kalangan pelajar.
“Program ini terbahagi kepada dua segmen iaitu taklimat kesedaran keselamatan oleh beberapa agensi kerajaan yang dijemput khas di bilik mesyuarat digital dan diikuti pameran di dewan terbuka sekolah,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau, baru-baru ini.


MENARIK….Antara pameran yang diadakan di Dewan Terbuka SMK Julau. Foto IPD Julau
Tambahnya, ia melibatkan kumpulan sasar terdiri daripada para pelajar tingkatan satu hingga lima SMK Julau termasuk para pendidik dan semua kakitangan sekolah.
“Saya berharap para pelajar dapat mengambil peluang dan kesempatan ini untuk mendekati pegawai kami yang hadir bagi mendapatkan maklumat keselamatan dan juga peluang kerjaya dalam kalangan badan beruniform.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola program ini yang memberi kerjasama padu kepada saya iaitu dari Pengetua Madline Jayan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Yek Chiu Fan dan ahli jawatankuasa (AJK) sekolah yang cemerlang dalam merancang dan melaksanakan program ini.
“Semoga usaha murni kita semua untuk mendidik golongan belia berjaya mencapai objektif program pada hari ini. Insya-Allah,” katanya.
Program ini merupakan anjuran IPD Julau dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak Cawangan Sibu kolaborasi dengan SMK Julau.
Oleh Earl Anek