
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah), Datuk Abu Bakar Jais (kiri) dan Datuk Azizah Nawawi.
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi dilantik menggantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang akan bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan serta istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.
Wan Ahmad Farid, 62, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.
Abu Bakar, 63, pula mengisi kekosongan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada 3 Julai lepas, manakala Azizah, 63, akan menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bakal bersara pada 25 Julai ini.– BERNAMA