
MIRI: Hujan lebat disertai angin kencang sekitar 7.00 malam tadi telah mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang dan kerosakan harta di beberapa kawasan di Miri.
Antara lokasi yang terjejas ialah Taman Awam, Taman Tunku, Tanjung Lobang, serta sepanjang Jalan Pulau Melayu dan Jalan Kuala Baram.
Dalam insiden di Kampung Muhibbah Kuala Baram, angin kencang menyebabkan bahagian bumbung sebuah rumah tercabut dan terbang.
Sementara itu, di Sealine 2, sebuah pokok tumbang turut menghempap sebuah kereta.
Bomba segera dikerahkan selepas menerima aduan dan telah menjalankan kerja pemotongan serta pembersihan pokok tumbang bagi memastikan kawasan terlibat selamat dan bersih.
Oleh Liong Chai Ling