
WASHINGTON: Maurene Comey, pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali kerana peranannya dalam siasatan berprofil tinggi melibatkan Jeffrey Epstein dan Sean “Diddy” Combs, telah dipecat, menurut laporan media AS yang dipetik oleh Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu.
Punca pemecatan Comey tidak dinyatakan dengan jelas setakat ini, menurut laporan portal Politico dan akhbar The New York Times.

Maurene Comey, anak kepada bekas pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) James Comey, sebelum ini mengendalikan kes persekutuan terhadap Epstein, seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan, serta Combs, seorang penerbit muzik yang awal bulan ini disabitkan dengan dua pertuduhan berkaitan pelacuran.
James Comey dipecat pada 2017 oleh Presiden Donald Trump ketika FBI sedang menyiasat dakwaan kaitan antara Moscow dan anggota pasukan kempen Trump bagi Pilihan Raya Presiden 2016.
Epstein meninggal dunia pada 2019 dalam sel penjara di New York dalam insiden yang secara rasmi diklasifikasikan sebagai bunuh diri. Namun, terutama dalam kalangan konservatif kanan di AS, kematiannya menimbulkan pelbagai spekulasi kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan tokoh elit negara itu.
Minggu lalu, FBI sekali lagi mengesahkan bahawa kematian Epstein adalah akibat bunuh diri dan tiada bukti mengaitkan individu berprofil tinggi lain atau kewujudan “senarai” pelanggan berpengaruh. Kenyataan itu menerima kritikan balas. – Bernama