
ENGKILILI: Komitmen membela masyarakat luar bandar terus dizahirkan apabila Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih prasarana di Rumah Panjang Dimbab Awet, Serubah Ili, Engkilili.
Pengumuman tersebut dibuat pada majlis Penangguhan Program Memperkasa Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang anjuran Ketua Masyarakat Daerah Lubok Antu yang berlangsung meriah di rumah panjang berkenaan, semalam.
Majlis penangguhan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pritcha Azin, serta barisan pemimpin masyarakat dan jabatan kerajaan.
Dalam ucapan Roy, beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Dimbab Awet dan RM5,000 kepada Biro Wanita rumah panjang tersebut, sebagai dorongan memperkasa pentadbiran komuniti serta memupuk penglibatan aktif golongan wanita di peringkat akar umbi.
“Majlis ini bukan sekadar simbolik tetapi bukti jelas komitmen kerajaan untuk memperkukuh peranan pemimpin komuniti dan memastikan kesejahteraan masyarakat rumah panjang terus terpelihara,” tegas Roy.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran Rumah Lintong, hasil kutipan solidariti rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri, antaranya Datuk Liwan Lagang (ADUN Belaga) – RM8,000, Wilson Nyabong (ADUN Pelagus) RM5,000, Anyi Jana (ADUN Ngemah) RM5,000.
Timbalan Menteri, Datuk Dr Malcolm Mussen dalam ucapan penangguhan turut menegaskan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan, ketua masyarakat dan rakyat bagi memacu kemajuan seimbang di seluruh kawasan Lubok Antu.
Program yang diadakan itu menjadi pentas memperkukuh kecekapan Ketua Kaum serta JKKK dalam menjalankan tugas selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan komuniti secara mampan.
Majlis turut diserikan kehadiran Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Mikai Mandau; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Rosaline Neging; Pemanca Grang Juben; Pemanca Chua Kee Long serta ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA).
Oleh Adi Safarman