
LIMBANG: Program Sayangi Anak-Anak Kita anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi platform tepat dalam memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai risiko bahaya dadah dan jenayah seksual dalam talian.
Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Limbang, Adinin Adol, berkata program yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit, baru-baru ini turut bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan positif dalam kalangan golongan sasar.
Menurut beliau, JKM berperanan sebagai agensi utama yang memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
“Ia melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang memerlukan jagaan, pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan mengikut takrifan Akta Kanak-Kanak 2001.
“JKM turut menyediakan perkhidmatan perlindungan kepada kanak-kanak daripada bahaya seperti penderaan, penyeksaan dan eksploitasi,” katanya.
Adinin, yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rangau, berkata penekanan turut diberikan kepada perkembangan fizikal, emosi, sosial dan mental kanak-kanak bagi melahirkan generasi dan pemimpin masa depan yang berwawasan.
Tambah beliau, JKM mempunyai Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) yang sentiasa bersedia menyelaras perkhidmatan kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan serta pemulihan, termasuk mereka yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan.
“Kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) yang ditubuhkan pada 19 Disember 2011 oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu.
“MPKK berperanan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyuarakan idea dan pendapat serta mengiktiraf potensi mereka untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.
Selain itu, MPKK juga berfungsi membincangkan serta mengutarakan isu-isu yang dihadapi pelajar, selain membantu membentuk sistem pengurusan yang cekap dalam kalangan pelajar dan membangunkan program advokasi berkaitan hak kanak-kanak.
Turut hadir wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang, Alister Langi Potin.
Oleh Adeng Edrus