ADENG IDRUS
LIMBANG: Pertubuhan atau persatuan bukan kerajaan(NGO) yang mahu menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah di tempat masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang di sini semalam, menegaskan perkara itu perlu untuk memastikan segala bantuan atau sumbangan diselaras oleh agensi bertanggungjawab.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan turut menasihatkan supaya tidak ada yang mengambil kesempatan dengan mengadakan kutipan derma dalam apa sahaja bentuk tujuan tertentu.
Oleh itu masyarakat perlu lebih waspada supaya tidak terpedaya dengan orang yang mengambil kesempatan dan mereka yang mahu memecah belahkan masyarakat.
Sementara itu Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan permit kebenaran mengutip derma.
Beliau menasihatkan masyarakat supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang memungut derma tanpa permit kebenaran daripada Polis dan Residen Bahagian Limbang.
Ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan turut menasihatkan mana-mana individu atau NGO untuk berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Limbang atau Lawas.