
LUNDU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha memperkasa komuniti melalui penganjuran Taklimat Perkhidmatan Agensi-Agensi Utama KPWKM di Dewan Pusat Latihan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Bajo hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menekankan peranan penting para petugas barisan hadapan seperti ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
“Sebagai mata, tuan-tuan dan puan-puan melihat sendiri cabaran rakyat seperti kemiskinan, pengabaian dan penderaan yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai telinga, saudara-saudari sentiasa mendengar keluhan yang mungkin tidak sampai ke pengetahuan pihak atasan.
“Sebagai mulut, tuan-tuan dan puan-puan menyampaikan dasar, bantuan dan maklumat kerajaan dengan penuh amanah dan keikhlasan. Sebagai hati, anda semua menjadi jambatan empati antara kerajaan dan rakyat,” katanya.
Jelasnya, beliau turut menyatakan bahawa keberkesanan dasar sosial kerajaan amat bergantung kepada sejauh mana ia benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan, dan bagaimana pendekatan yang digunakan oleh petugas dapat membina keyakinan serta menjalin kepercayaan masyarakat.
Program taklimat ini turut memberi ruang kepada komuniti setempat untuk berinteraksi secara langsung bersama wakil agensi, sekali gus meningkatkan tahap kefahaman terhadap peranan dan perkhidmatan yang disediakan KPWKM.
Sambutan yang diterima daripada wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjawat awam dan pemimpin tempatan membuktikan bahawa inisiatif seperti ini amat bertepatan dalam memperkukuh jaringan sosial serta merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaannya.

Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada masyarakat mengenai fungsi, program dan perkhidmatan utama yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah KPWKM, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Beliau turut menegaskan komitmen KPWKM untuk terus mendekati rakyat dengan menyediakan perkhidmatan yang inklusif, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan semasa golongan sasar seperti wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta golongan rentan.
Program ini turut menampilkan sesi pembentangan serta dialog terbuka antara wakil agensi dan peserta yang hadir merangkumi topik-topik seperti perlindungan sosial, pemerkasaan keluarga, khidmat kaunseling, serta intervensi komuniti berisiko.
KPWKM percaya bahawa taklimat seumpama ini dapat merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat serta meningkatkan keberkesanan dasar-dasar sosial negara.
–Jabatan Penerangan Sarawak