
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menyempurnakan penyerahan keperluan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Long Banga di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Petronas dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di bawah inisiatif impak sosial Petronas, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.3 juta.
Menurut Gerawat, program ini bertujuan meningkatkan akses dan mutu perkhidmatan kesihatan luar bandar di Sarawak, termasuk kawasan pedalaman seperti Long Banga.

“Kesihatan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan usaha seperti ini amat bertepatan dengan komitmen kerajaan Sarawak menerusi strategi pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030) yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kolaborasi antara sektor awam dan swasta dapat memperkukuh sistem kesihatan negeri, mempercepat pendigitalan sektor kesihatan, serta memperluas capaian perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
Gerawat turut merakamkan penghargaan kepada Petronas, SABATI dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kerana memilih Long Banga sebagai salah satu lokasi penerima sumbangan.
“Semoga ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif kesejahteraan rakyat luar bandar pada masa akan datang,” tambah beliau.
Oleh Jiku Juguong