
PERCINTAAN tanpa ikatan bukanlah percintaan yang hakiki namun dengan wujudnya pernikahan sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Islam terhadap umatnya maka kita dapat menyaksikan perkahwinan merupakan salah satu kunci untuk mengukuhkan perasaan cinta sesama pasangan.
Dengan adanya akad, mahar serta beberapa ketetapan syariat islam terhadap pasangan dalam mendirikan gerbang perkahwinan merupakan satu cabaran untuk membuktikan tahap cinta pasangan tersebut.
Kesemua itu menunjukan Islam amat menitikberat perihal perkahwinan yang sememangnya sunnah para rasul sejak dulu.
Bermula daripada awal kewujudan manusia iaitu Nabi Adam AS dan Hawa, sudah Allah SWT mengisyaratkan bahawasanya manusia sememangnya dicipta secara berpasangan iaitu lelaki dan perempuan serta saling memerlukan diantara satu sama lain.
Firman Allah SWT telah menyatakan dalam Al-quran: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.” (maksud Surah al-Najm: 45)
Kemudian telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul SAW sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (maksud Surah al-Ra‘d: 38)
Pernikahan akan menjadikan hubungan pasangan tersebut halal dan diredhai oleh Allah SWT. Adalah lumrah manusia itu memiliki sifat cinta dan mencintai sesama pasangan mereka dan melalui pernikahan akan terlahir zuriat keturunan yang akan mengembangkan lagi umat manusia di muka bumi ini.
CIRI-CIRI WANITA DINIKAHI
Aspek yang penting dalam mendirikan rumah tangga seharusnya kita memilih isteri yang solehah dan mampu taat kepada suami.
Sebagaimana Rasulullah SAW telah menyebutkan bahawa, siapa yang mengutamakan kriteria agama pada pasangannya, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang beruntung.
Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (maksud hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga sebaliknya si perempuan juga harus menjadi suami yang soleh dan mampu untuk membimbingnya ke jalan yang lurus. Lelaki telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memimpin keluarga dengan kelebihan kekuatan yang diberi oleh-Nya.
FAEDAH MELAYARI BAHTERA PERKAHWINAN
Antara kelebihan apabila melayari bahtera perkahwinan ialah akan menyuburkan lagi sifat kasih sayang sesama pasangan, mendidik sifat tanggungjawab, memberi ketenangan dalam jiwa dan mengajar erti nilai percintaan yang sebenar.
Cabaran dalam perkahwinan sememangnya akan wujud bahkan ia merupakan asam garam dalam kehidupan berpasangan namun sekiranya kita sentiasa merujukan kepada Al-quran dan meneladani sifat Rasulullah SAW dalam berkeluarga sudah pasti akan membantu kita mengatasi segala permasalahan yang berlaku.
Hal ini jelas seperti dalam firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (maksud Surah al-Rum: 21)
Oleh yang demikian, sewajarnya kita sebagai umat islam sentiasa memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan.
Bahkan dianjurkan kita mengamalkan doa ini sebagaimana firman Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (maksud Surah al-Furqan: 74)

Sahabat yang paling pemalu
SAIDINA Uthman bin Affan adalah seorang yang memiliki sifat pemalu.
Sifat malu ini sebenarnya membawa manusia kepada kemuliaan di mana apabila seseorang itu memiliki sifat pemalu, maka dia akan menjauhi segala bentuk maksiat dan akan melakukan segala bentuk ketaatan kepada Allah SWT.
Dengan sifat malunya itu, beliau menjadi kalangan orang terawal memeluk Islam. Dengan sifat malunya juga, beliau telah menginfakkan harta-hartanya dan turut berjuang dengan dirinya di jalan Allah SWT.
Dengan sifat malunya juga menyebabkan beliau tidak pernah engkar dengan suruhan Rasulullah SAW walaupun selepas kewafatan baginda.
Saidina Uthman diiktiraf oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai orang yang memiliki sifat pemalu paling tinggi di kalangan para sahabat.
Rasulullah pernah bersabda: Dari Anas, beliau berkata, Rasulullah bersabda, “Orang yang paling penyayang di kalangan umatku adalah Abu Bakar, yang paling tegas dalam menegakkan agama Allah adalah Umar, yang paling pemalu adalah Uthman, yang paling mengetahui tentang halal dan haram adalah Muadz bin Jabal, yang paling bagus bacaan Al-Quran adalah Ubay bin Kaab dan yang paling mengetahui tentang ilmu faraidh adalah Zaid bin Thabit. Setiap umat mempunyai seorang yang terpercaya dan orang yang terpercaya di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah bin Al Jarrah”.
Saidatina Aisyah berkata, “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW sedang berbaring di rumah saya dengan membiarkan kedua pahanya atau kedua betisnya terbuka. Tidak lama kemudian, Abu Bakar meminta izin kepada Rasulullah SAW baginda untuk masuk ke dalam rumah Maka Rasulullah SAW pun mempersilakannya untuk masuk dalam keadaan baginda tetap seperti itu dan mereka terus berbincang-bincang (tentang suatu perkara). Lalu Umar bin Khattab datang dan meminta izin kepada Rasulullah untuk masuk ke dalam rumah baginda. Maka Rasulullah SAW pun mempersilakannya untuk masuk dalam keadaan baginda tetap seperti itu dan terus berbincang-bincang (tentang suatu perkara). Kemudian Uthman bin Affan datang dan meminta izin kepada baginda untuk masuk ke dalam rumah baginda Maka Rasulullah SAW pun mempersilakannya untuk masuk seraya membetulkan posisi duduk dan membetulkan pakaiannya (peristiwa itu tidak berlaku pada hari yang sama). Lalu Uthman masuk dan langsung bercakap-cakap dengan baginda tentang pelbagai perkara. Setelah Uthman keluar dari rumah, Aisyah bertanya; “Ya Rasulullah SAW, tadi ketika Abu Bakar masuk ke rumah engkau tidak terlihat tergesa-gesa untuk menyambutnya. Kemudian ketika Umar datang dan masuk, engkau pun menyambutnya dengan biasa-biasa saja. Akan tetapi ketika Uthman bin Affan datang dan masuk ke rumah, maka engkau segera bangkit dari pembaringan dan langsung membetulkan posisi duduk sambil membetulkan pakaian engkau. Sebenarnya ada apa dengan hal ini semua ya Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Aisyah, bagaimana mungkin aku tidak merasa malu kepada seseorang yang para malaikat saja merasa malu kepadanya?”. (Riwayat Muslim)
Hanzalah Azman |