
PANTU: Setiap pelajar diingat untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan sekolah bagi menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang diceburi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata aktiviti sukan bukan sahaja bagi memenuhi gesaan kerajaan yang mahukan pelajar terlibat dalam bidang pelbagai bidang sukan, bahkan ia secara langsung boleh memupuk semangat kesukanan di kalangan pelajar berkenaan.
“Ambil peluang ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat anda, agar pihak sekolah mampu melatih anda untuk menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili sekolah, daerah ataupun negara satu masa kelak seperti atlet-atlet lain yang telah membanggakan nama negara masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun ke Bawah Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringin, Pantu dekat sini semalam.
Mong berkata bidang sukan merupakan platform terbaik bagi melahirkan murid yang cergas, berdisplin dan bertanggungjawab.

Beliau berkata penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menentukan juara dan pemenang tetapi juga memberi pendidikan secara tidak langsung kepada seseorang murid bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.
“Tiada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan menjalankan sifat menghormati dan semangat berpasukan.
“Matlamat utamanya adalah membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling kasih mengasihi,” ujarnya.
Kejohanan tersebut melibatkan tujuh buah pasukan, termasuklah Zon Pantu, Zon Lingga, Zon Undop, Zon Engkelili, Zon Sri Aman, Zon Lubok Antu serta SK Abang Aing. Zon Lubok Antu telah menjadi juara, naib juara pula Zon Engkelili, tempat ketiga SK Abg Aing dan tempat keempat Zon Pantu.
Oleh Adi Safarman