Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • MBK bukti kemampuan di Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSS Sarawak 2025
  • SUKAN

MBK bukti kemampuan di Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSS Sarawak 2025

Utusan Sarawak 12 hours ago
DATO’ Sri Huang Tiong Sii (tengah) menyampaikan piala kepada salah satu pemenang Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri Sarawak 2025 di Sarikei, semalam – Foto UKAS

SARIKEI: Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Negeri Sarawak 2025 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan rasmi di Kompleks Sukan Sarikei semalam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan kejohanan selama empat hari itu yang bermula sejak 30 Jun lalu.

Menurut beliau, kejohanan ini bukan sahaja membuka ruang kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) menyerlahkan bakat dalam bidang sukan, malah membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan khas di Sarawak.

“Kejohanan ini membawa mesej jelas bahawa peluang yang adil dan pendidikan inklusif adalah asas penting untuk membina masyarakat yang penyayang, progresif dan inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, semangat kesukanan, disiplin dan daya saing yang ditunjukkan para atlet MBK sepanjang kejohanan amat membanggakan dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

“Anda semua telah membuktikan bahawa bakat dan potensi mampu menyerlah jika diberikan ruang dan sokongan sewajarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak agar terus komited memperkukuh pendidikan khas melalui pendekatan intervensi awal, pembangunan holistik dan rangkaian sokongan yang lebih mantap, bagi memastikan tiada murid tercicir dalam arus pembangunan negara.

Dato’ Sri Huang turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pendidikan, termasuk melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurus Sekolah.

Beliau berkata, pelbagai penambahbaikan infrastruktur pendidikan di seluruh negeri adalah langkah strategik ke arah melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan seimbang dari segi akademik serta sahsiah.

Sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan khas di Sarikei, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Tabung Pembangunan Pendidikan Sarikei, bagi membantu memperkukuh lagi usaha pembangunan pendidikan di daerah ini. – UKAS

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Klopp, Ronaldo ratapi pemergian Diogo Jota 
Next: Sukan Borneo 2025 kembali ke Sarawak selepas 12 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.