KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi dua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang uzur di Sungai Lembing di sini semalam, bersempena Hari Pahlawan baru-baru ini.
Pada ziarah pertama, Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Pemerintah Tertinggi ATM berkenan bertanya khabar Dzulkifli Husain, 60, yang kini perlu menggunakan kerusi roda selepas kehilangan kaki kanan akibat kencing manis pada 2013 di rumahnya di Kampung Kolek.
Mengulas kunjungan Seri Paduka, Dzulkifli yang berkhidmat selama 13 tahun dalam Tentera Darat sejak 1979 berkata dia tidak menyangka Yang di-Pertuan Agong sanggup mencemar duli menziarahinya sedangkan dia “bukan bekas tentera berpangkat tinggi”.
“Ini adalah rezeki kami sekeluarga yang berpeluang menerima kehadiran Seri Paduka di rumah. Lebih tersentuh kerana Seri Paduka melihat sendiri keadaan saya yang sedang uzur, menunjukkan betapa Tuanku begitu mengambil berat soal kebajikan bekas tentera.
“Saya memang terkejut kerana hanya mengetahui tentang keberangkatan Seri Paduka ke sini sekitar tiga hari lalu daripada pegawai polis dan sejak itu memang gementar menanti hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya.
Selain Dzulkifli, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli bertanya khabar bekas anggota Tentera Darat Mohammad Awang Kechik, 80, yang sedang terlantar di kediaman menantunya di Felda Bukit Kuantan, di sini.
Anak kepada Mohamad Awang, Sabariah, 30, berkata keadaan kesihatan ayahnya yang menyumbang bakti dalam pasukan beruniform itu selama 15 tahun sejak 1962, mula merosot sekitar 2018 selepas kematian isteri setahun sebelumnya.
“Ketika ini saya yang menjaga ayah yang menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan angin ahmar.
“Ketika menziarahi kami, Seri Paduka bertanya mengenai keadaan ayah saya dan bantuan yang pernah diterima olehnya. Saya amat bersyukur kerana sumbangan baginda sedikit-sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Pada ziarah itu, Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan termasuk kerusi roda, kipas angin dan lampin pakai buang kepada kedua-dua veteran tentera tersebut. – Bernama